Isnin, Oktober 01, 2012

Puisi Buat Allahyarham Ayahanda Tuan Haji Saroni

Di tanah merah itu dirimu bersemadi,

membawa segala semangat dan perjuangan abadi,

membawa kekuatan dan kesungguhan hakiki,

yang tidak mungkin yang lain miliki,

engkaulah pembakar semangatku,

engkau peneman kekecewaanku,

engkau juga penghibur hati di kala lara,

pemberi harapan,

pemberi sinar,

engkaulah pemimpin sejatiku.


Masih ku ingat lagi,

hilai tawamu,

gelak gembiramu,

renungan matamu,

rasanya baru semalam kita bertemu,

namun esoknya kita berpisah jua,

pemergianmu tidak dapat ku tangisi,

namun hatiku meratapi,

merasai pemergian sebuah permata,

menyinari gelap hariku,

melindungi tawar hargaku,


Ajaranmu, tuturmu, nasihatmu,

Akan aku ingati hingga nanti,

Aku masih ingat dikala dirimu berdiri,

berdiri dgn gagah berani,

melempiaskan kata,

menghuraikan bicara,

menitipkan suara,

tanpa hirau akan cacian manusia,

setiap katamu punyai kebenaran,

yang tidak dapat mereka pertikaikan.


Auramu akan kugenggam,

membawa janji dan harapan,

harapan dari ayahanda tercinta,

inginkan anak didiknya berjaya,

mungkin kita tidak bisa berjumpa,

namun dirimu tidak akan kulupa,

setiap detik, setiap saat dan setiap masa,

akan kuingat jasamu ayahanda.


Al-Fatihah buat Allahyarham Tuan Haji Mohd Saroni bin Kasmani yang telah meninggalkan kita pada 28 September 2012 di Hospital Selayang Jam 2100. Moga rohnya ditempatkan dalam golongan Muslimin yang beriman dan beramal soleh. Amin.

 

Sabtu, September 29, 2012

In appreciation for Allahyarham Tuan Haji Mohd Saroni bin Kasmani

Tanggal 28 September 2012, biarlah tarikh ini menjadi lipatan sejarah buat diriku. Kehilangan seorang insan yang banyak memberi semangat dan kekuatan kepada diriku menjadikan kesedihan menyelubungi gelap malamku ini. Berita pemergian bekas pengetua MRSM Pengkalan Chepa yakni Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah MARA sehingga tarikh ini merentap keseronokan ketika aku menghadiri aktiviti di PWTC malam ini. Satu ayat pesanan ringkas daripada kawanku menyebabkan lututku lemah dan aku segera menguatkan langkahku untuk keluar daripada majlis ku itu. Pertama kali mendengar berita tersebut, aku hanya fikir ia mungkin hanya mainan kata daripada kawan-kawanku kerana aku tidak percaya ayahanda boleh pergi pada waktu ini dan aku lupa akan hukum dunia yakni nyawa kita boleh diambil tidak kira masa, tempat dan caranya. Sebagai kepastian, aku segera menelefon nombor telefon bimbit ayahanda, jelas dan amat jelas. Panggilanku yang telah dijawab oleh anak perempuannya menguatkan lagi kata-kata daripada kawanku akan kematian ayahanda. Aku berkata"Boleh saya bercakap dengan ayahanda saroni?". Lantas suara wanita menjawab, "Ayahanda saroni dah tiada, dan baru je meninggal tadi." Ayat itu merupakan penamat kepada persoalanku akan pemergian antara manusia yang paling aku hormati dan sayangi. Banyak perkara yang membuatkan aku tertarik akan keperibadian Arwah ayahanda Saroni. Kepimpinannya yang futuristik adalah perkara utama yang menjadi panduan aku selama aku menjadi pemimpin dibawah kepimpinan beliau. Kata-katanya yang mempunyai kebenaran yang tersendiri akan membuatkan kita berfikir berkali-kali untuk meneruskan agenda sesuatu perkara yang ingin dilakukan. Arwah juga seorang yang amat berkaliber dan senang untuk berurusan seandainya kita dapat memanipulasikan fikirannya dengan perkara yang baik. Dan selama aku menjadi seorang Badan Wakil Pelajar ketika beliau masih seorang pengetua MRSM Pengkalan Chepa, tidak pernah pun keinginanku beliau tolak. Mungkin kerana aku lebih suka untuk mengusulkan perkara yang logikal dan mempunyai kebaikan menyebabkan beliau tidak berfikir berkali-kali utnuk membenarkan aku meneruskan hasratku. Dan yang paling aku banggakan adalah, setiap permintaanku untuk pelajar-pelajar menonton perlawanan penting bolasepak dipenuhi oleh beliau untuk menyenangkan hati pelajarnya dan juga aku sendiri. Karisma arwah sewaktu bergelar pengetua maktab amat digeruni dan jarang mana-mana pihak berani untuk berlawan dengan arahan beliau kerana rasa hormat dan kebenaran yang timbul melalui kata-kata yang disampaikannya. "Berkatalah yang baik-baik untuk si mati, jika ada kesilapan maafkanlah, jika simati mempunyai hutang langsaikanlah nescaya kamu akan mendapat manfaatnya". Setiap yang merasai kehidupan itu akan merasai kematian dan mereka akan meninggalkan semua perkara pabila mati dan hanya 3 perkara akan mengiringi mereka ke akhirat iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak-anak yang soleh dan solehah. Moga roh arwah sentiasa diletakkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Jasa dan pengorbananmu tetap akan aku sanjungi dan aku ingati. AL-FATIHAH buat Allahyarham Tuan haji Mohd Saroni bin Kasmani yang telah pergi kepada Illahi.





"FROM HIM WE CAME, AND TO HIM WE SHALL RETURN"





Jumaat, Mei 06, 2011

Nukilan Seorang Lelucky



Coretan Hidup Seorang Pengemis

Aku hanyalah seorang pengemis jalanan. Hidupku hanya bertemankan sebuah papan yang mempunyai tiga roda kecil yang membantuku untuk bergerak menikmati sisa-sisa hidupku di bumi ini. Aku bukannya ingin menagih simpati daripada sesiapa pun dengan keadaanku. Namun nasibku yang berubah semenjak tarikh keramat itu menyebabkan diriku terpaksa menagih simpati tanpa aliran airmataku. Masihku ingat lagi kejadian di pagi 1 syawal itu yang telah merubah kehidupanku 100% dan membuat putaran 180 darjah kepada hidupku yang amat aku hargai suatu ketika dahulu.

Pagi yang mulia itu, aku bersiap-siap di pagi hari untuk bersedia menunaikan solat Hari Raya bersama ibubapaku. Semua ahli keluarguku mengenakan pakaian putih pada tahun ini atas permintaan bapaku. Entah mengapa tiba-tiba bapaku ingin mengenakan baju putih pada tahun itu,kerana setahu diriku warna itu adalah warna yang paling dibenci oleh bapaku. Tanpa berfikir lebih panjang,aku terus menyiapkan diriku untuk pergi menunaikan solat sunat aidilfitri. Perjalanan menuju ke masjid itu dipenuhi dengan gurau senda dan hilai tawa daripada aku adik beradik. Ibubapaku tersenyum panjang melihat telatah kami semua yang berada di bahagian belakang kereta Toyota Wish berwarna putih yang baru dibeli bapaku 6 bulan yang lepas.

Ketika kereta kami ingin melencoong masuk ke simpang menuju ke masjid Ar-rahman,tiba-tiba sebuah lori kontena meluru ke bahagian tepi kawasan pemandu. Aku sekeluarga menjerit ketakutan dan jeritan itu tenggelam apabila kontena yang dibawa oleh lori itu jatuh menghempap kenderaan keluargaku. Bunyi perlanggaran yang kuat itu menyebabkan semua jemaah yang berada di dalam masjid itu meluru keluar untuk meninjau apa yang berlaku. Selepas perlanggaran itu,aku tidak sedarkan diri dan apa yang aku dengar hanyalah sendu tangis daripada jemaah yang membantu diriku sekeluarga.

Aku hanya menyedari selepas tiga hari aku tidak sedarkan diri. Kegelapan terus menghantui diriku sejurus aku membuka mataku. Balutan putih yang membaluti hujung kakiku meluluhkan hatiku yang telah sedia hancur akibat peristiwa di pagi syawal itu. Aku terus menangis,menangisi keadaanku yang sudah tidak sempurna. Setelah kondisiku sedikit stabil,aku memanggil seorang sister di rumah sakit itu untuk menanyakan keadaan keluargaku yang lain. Satu lagi berita yang cukup untuk menhancurkan segala kegembiraan dan hilai tawa di pagi syawal itu. Bapaku dan dua orang adik lelakiku telah pergi meninggalkan dirku buat selamanya. Manakala ibuku dan adik perempuanku yang bongsu masih tidak sedarkan diri di wad ICU. Bagai ditusuk semcilu hatiku apabila mendengar perkhabaran yang cukup memeritkan pemikiranku pabila mendengarnya.

Setelah tiga hari berada di rumah sakit itu,aku dikhabarkan dengan satu lagi berita yang cukup-cukup meruntun perasaanku. Kedua-dua insan yang masih lagi menemaniku di rumah sakit ini tela pergi meninggalkanku untuk meneruskan kehidupanku menhadapi cabaran-cabaran yang akan aku hadapi. Pada saat itu,segala harapan dan impian hidupku telah hilang dibawa angin kesedihan. Aku telah menjadi seorang insan yang serba kekurangan sejak pada saat yang menyedihkan itu. Tiada guna lagi segala air mata yang aku gugurkan untuk menangisi kekecewaan yang aku hadapi.

Apabila aku menjejakkan kaki ke luar daripada rumah sakit itu,kehidupanku telah gelap gelita. Tiada sedikit cahaya pun yang menerangi untuk aku terus berdiri menghadapi cabaran dan dugaan. Permulaan kehidupanku selepas itu terus rebah musnah apabila aku dikhabarkan segala harta peningglan ayah dan ibuku dirampas oleh adik beradik ayahku. Tinggallah aku sehelai sepinggang meneruskan kehidupanku yang serba gelah dan musnah ini.

Bermula pada saat itu,jadilah aku sebagai seorang pengemis jalanan kerana aku tidak miliki apa-apa dalam kehidupanku. Bukannya aku ingin hidup seperti ini,namun qadar dan qada ku yang menhendaki aku agar menjadi seorang pengemis jalanan. Bertemankan papan buruk beroda tiga dan sepasang baju yang aku temui di tepian jalan aku meneruskan kehidupanku yang serba gelap dan hitam. Kepada masyarakat yang mengenaliku dan menjumpaiku di tepi-tepi jalan,di bawah jambatan dan di pasar-pasar, aku harapkan kalian semua mengasihi diri kami dan tidak mengherdik atau mencaci kehidupan kami.