Sabtu, September 29, 2012

In appreciation for Allahyarham Tuan Haji Mohd Saroni bin Kasmani

Tanggal 28 September 2012, biarlah tarikh ini menjadi lipatan sejarah buat diriku. Kehilangan seorang insan yang banyak memberi semangat dan kekuatan kepada diriku menjadikan kesedihan menyelubungi gelap malamku ini. Berita pemergian bekas pengetua MRSM Pengkalan Chepa yakni Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah MARA sehingga tarikh ini merentap keseronokan ketika aku menghadiri aktiviti di PWTC malam ini. Satu ayat pesanan ringkas daripada kawanku menyebabkan lututku lemah dan aku segera menguatkan langkahku untuk keluar daripada majlis ku itu. Pertama kali mendengar berita tersebut, aku hanya fikir ia mungkin hanya mainan kata daripada kawan-kawanku kerana aku tidak percaya ayahanda boleh pergi pada waktu ini dan aku lupa akan hukum dunia yakni nyawa kita boleh diambil tidak kira masa, tempat dan caranya. Sebagai kepastian, aku segera menelefon nombor telefon bimbit ayahanda, jelas dan amat jelas. Panggilanku yang telah dijawab oleh anak perempuannya menguatkan lagi kata-kata daripada kawanku akan kematian ayahanda. Aku berkata"Boleh saya bercakap dengan ayahanda saroni?". Lantas suara wanita menjawab, "Ayahanda saroni dah tiada, dan baru je meninggal tadi." Ayat itu merupakan penamat kepada persoalanku akan pemergian antara manusia yang paling aku hormati dan sayangi. Banyak perkara yang membuatkan aku tertarik akan keperibadian Arwah ayahanda Saroni. Kepimpinannya yang futuristik adalah perkara utama yang menjadi panduan aku selama aku menjadi pemimpin dibawah kepimpinan beliau. Kata-katanya yang mempunyai kebenaran yang tersendiri akan membuatkan kita berfikir berkali-kali untuk meneruskan agenda sesuatu perkara yang ingin dilakukan. Arwah juga seorang yang amat berkaliber dan senang untuk berurusan seandainya kita dapat memanipulasikan fikirannya dengan perkara yang baik. Dan selama aku menjadi seorang Badan Wakil Pelajar ketika beliau masih seorang pengetua MRSM Pengkalan Chepa, tidak pernah pun keinginanku beliau tolak. Mungkin kerana aku lebih suka untuk mengusulkan perkara yang logikal dan mempunyai kebaikan menyebabkan beliau tidak berfikir berkali-kali utnuk membenarkan aku meneruskan hasratku. Dan yang paling aku banggakan adalah, setiap permintaanku untuk pelajar-pelajar menonton perlawanan penting bolasepak dipenuhi oleh beliau untuk menyenangkan hati pelajarnya dan juga aku sendiri. Karisma arwah sewaktu bergelar pengetua maktab amat digeruni dan jarang mana-mana pihak berani untuk berlawan dengan arahan beliau kerana rasa hormat dan kebenaran yang timbul melalui kata-kata yang disampaikannya. "Berkatalah yang baik-baik untuk si mati, jika ada kesilapan maafkanlah, jika simati mempunyai hutang langsaikanlah nescaya kamu akan mendapat manfaatnya". Setiap yang merasai kehidupan itu akan merasai kematian dan mereka akan meninggalkan semua perkara pabila mati dan hanya 3 perkara akan mengiringi mereka ke akhirat iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak-anak yang soleh dan solehah. Moga roh arwah sentiasa diletakkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Jasa dan pengorbananmu tetap akan aku sanjungi dan aku ingati. AL-FATIHAH buat Allahyarham Tuan haji Mohd Saroni bin Kasmani yang telah pergi kepada Illahi.





"FROM HIM WE CAME, AND TO HIM WE SHALL RETURN"





1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Semoga arwah ayah dicucuri rahmat dari Nya.. Al fatihah.... Trime kasih sbb sudi wujud kan memo ini untuk memperingati arwah ayah sy.. Semoga adik berjaya dan semakin berjaya untuk mengejar cita2 adik sampai berjaya.. Akak doakan kejayaan adik... Amin..